Lama tak bertinta di sini. Kesibukan tugas agak membebankan dan meletihkan.
Dalam kesibukan itu, perhatian terhadap Shasha juga agak terganggu. Kini telah masuk bulan ke tiga Shasha menempuh dunia pra sekolah yang lebih mencabar. Ketika usia 5 tahun Shasha memasuki prasekolah yang tidak begitu serius. Yurannya murah, maka sukatan pelajarannya juga kurang berkualiti. Perkembangan pembelajarannya juga sangat perlahan.
Kini, sejak memasuki pra sekolah yang lebih berkualiti, kemajuan pembelajarannya meningkat lebih jauh dan ketara. Namun, hati saya sangat terusik ketika melihat Shasha menulis.
Huruf S ditulis terbalik. Puas saya melatih dia menulis dengan betul, namun dia tetap tulis terbalik. Lebih teruk lagi dia tidak mengenal huruf!
Pada fikiran saya, saya perlu lakukan sesuatu. Maka, saya ambil keputusan sendiri dengan meminta teman mengajar dia di waktu malam selepas kami menikmati makan malam. Pendekatan kami adalah seperti ketika bersekolah dulu-dulu, langkah pertama mestilah mengenal ABC. Kasihan Shasha apabila dia tidak mengenal huruf, kena marah lah dia. Menitik airmata Shasha kesedihan. Saya pun berasa kasihan melihat dia dimarah oleh teman kerana tidak mengenal ABC.
Maka, keesokan harinya saya berjumpa dengan gurunya dan berbincang tentang perkembangan Shasha. Alangkah terkejutnya saya rupanya kaedah pembelajaran pra sekolah zaman ini jauh berbeza dari zaman saya pra sekolah dulu. Langkah pertama apabila memasuki pra sekolah, Shasha diajar membaca. Ada tekniknya. Contohnya dia hanya diajar dengan huruf vokal dan bagaimana ia berbunyi. a, e, i, o, u.
Cuma saya yang tidak tahu dan tidak faham. Memanglah kanak-kanak tidak akan mengenal huruf pada awalnya, tapi mereka akan lebih cepat membaca. Dan lama kelamaan apabila telah pandai membaca, kanak-kanak akan mengenal huruf. Teknik ini memang berkesan. Jika Shasha masuk ke pra sekolah yang sealiran lebih awal, pasti Shasha dah pandai membaca, tetapi kerana Shasha masuk ke pra sekolah ini pada usia 6 tahun, maka dia sudah sedikit terlewat, tetapi masih ada ruang untuk dia.
Mujurlah Shasha anak yang cerdas. Kini perkembangannya membanggakan. Shasha sudah mengenal huruf dan dapat membaca meskipun perlahan. Malah, di pra sekolah ini, Shasha juga pandai berbahasa Inggeris.
Pesan guru sekolah Shasha, beri peluang kepada kanak-kanak untuk belajar dan jangan terlalu memaksa kanak-kanak mengikut cara kita, belum tentu cara kita betul. Apalagi, jika mengajar dia selepas kita pulang dari kerja lagi lah bahaya. Dahlah badan kita letih, anak pula tak berapa pandai. Asyik kena marah aje pula budak tu. Silap-silap naik pula penangan kat muka budak tu.
Pada pandangan saya, biarlah kanak-kanak belajar dari kesilapan dan meningkatkan diri mereka secara normal. Kalau dipaksa sangat pun tak boleh juga. Kalau langsung tak bimbing pun, tak boleh juga. Maka, pandai-pandai la kita mainkan peranan kita sebagai ibu bapa. Harap-harap Shasha boleh berjaya. Bukan hanya tunjuk pandai ketika bersekolah, tapi pandai-pandailah dia membawa diri di dunia ni.